YAA Othman

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

 

Salam sejahtera, Salam Perlis, Salam 1 Malaysia

 

بسم الله الرحمن الرحيم

 

          Segala puji bagiMu wahai Penguasa sekalian alam. Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Penguasa di hari pembalasan. Hanya kepadaMu kami menyembah dan hanya kepadaMu kami memohon pertolongan. Tunjukkanlah kami pada jalan yang benar. Iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau berikan nikmat. Bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan jalan orang-orang yang sesat. Salam dan salawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. kepada keluarga serta para sahabat baginda dan kepada segenap kaum Muslim yang telah berjuang menegakkan agamaMu. Besar harapan saya agar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs) akan memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada masyarakat khususnya rakyat negeri Perlis. Walau bagaimanapun, harapan tersebut  tidak akan terlaksana sekiranya ia tidak disusuli dengan tindakan dan pelaksanaan yang baik. Justeru, satu anjakan paradigma (paradigm shift)  perlu dilakukan bagi merealisasikan hasrat tersebut.

          Saya yakin kita mampu menjadikan JKSNPs sebagai sebuah institusi kehakiman syariah yang berwibawa dan adil selari dengan misi dan visi yang dibawa dengan adanya sokongan jitu daripada semua pihak khususnya warga kerja JKSNPs, pengamal undang-undang, agensi-agensi agama serta masyarakat secara umumnya. Kita bermula dahulu dengan warga JKSNPs sendiri di mana semangat dan iltizam yang tinggi perlu ditanam dalam diri setiap warga JKSNPs tanpa mengambil kira gred dan jawatan sama ada kakitangan sokongan mahupun pegawai. Kekuatan sesuatu institusi itu dapat dibentuk dan dizahirkan sekiranya ukhuwah dan jalinan kerjasama antara seluruh warga kerja JKSNPs dapat dihimpunkan. Perlu difahami bahawa sesuatu sistem yang baik tidak akan sempurna dan mustahil untuk mencipta kejayaan melainkan disertakan dengan komitmen dan iltizam yang tinggi oleh seluruh warga kerja jabatan tersebut. Saya yakin warga kerja JKSNPs mampu membuat satu perubahan sama ada dari segi perubahan minda, perubahan cara kerja, mahupun perubahan sikap. Saya ingin menyentuh beberapa aspek penting di Jabatan ini agar peranan JKSNPs ini nampak lebih jelas khususnya kepada masyarakat umum dan rakyat negeri Perlis.

 

Petugas Kaunter

 

          Kualiti sesebuah institusi itu juga sering dinilai bermula dari perkhidmatan yang diberikan di kaunter pertanyaan mahupun di kaunter pengurusan. Petugas-petugas kaunter dianggap sebagai frontliners yang membawa imej jabatan secara keseluruhannya. Justeru, perkara pertama yang perlu diterap dan dilazimkan ialah bersikap ramah mesra dan sentiasa memberikan senyuman yang mana sikap ini sebenarnya mampu menimbulkan rasa hormat dan percaya pelanggan kepada jabatan. Tidak dinafikan kejayaan mahupun kegagalan sesebuah jabatan itu banyak bergantung kepada persepsi pertama yang diberikan oleh pelanggan yang hadir.  Perlu difahami bahawa  petugas di kaunter bukan sahaja ditugaskan untuk  menjawab pertanyaan oleh pelanggan dan menguruskan keperluan yang dikehendaki tetapi menjangkau lebih daripada itu iaitu memberikan perkhidmatan cemerlang melepasi tahap kepuasan pelanggan dengan mengambil kira sikap ramah mesra yang dipamerkan selain menekankan kepentingan pengetahuan dan kemahiran. Budaya mempamerkan senyuman seharusnya menjadi satu budaya yang diamalkan oleh semua warga kerja terutamanya mereka yang ditugaskan di kaunter pertanyaan mahupun di kaunter pengurusan. Sekiranya pelanggan disapa dengan sikap berlemah lembut dan ramah mesra, saya percaya dan yakin pelanggan tersebut akan mudah memahami penerangan yang diberikan beserta kehendak dan prosedur yang ditetapkan.

 

Peranan Hakim

 

          Kepada semua Hakim Syarie di Mahkamah Syariah Negeri Perlis,  jawatan sebagai Hakim Syarie ini merupakan satu jawatan yang amat penting di dalam sesebuah institusi kehakiman. Kedudukan sebagai seorang Hakim berbeza dengan kebanyakan orang atau jawatan lain disebabkan amanah dan tanggungjawab mereka adalah lebih berat dan kedudukan ini bukanlah merupakan (satu keistimewaan). Mahkamah Syariah sering dijadikan punca kelewatan dan lambakan kes tertunggak. Oleh itu, langkah-langkah perubahan hendaklah diambil segera bagi membaiki dan menaikkan reputasi Mahkamah Syariah khususnya di negeri Perlis ini.

          Justeru itu, harapan saya kepada semua Hakim Syarie ialah untuk mengenalpasti baki kes yang masih belum dapat diselesaikan pada tahun sebelumnya di samping mengenalpasti punca penangguhan penyelesaian kes tersebut. Sekiranya punca tertangguhnya kes-kes tersebut disebabkan faktor kelemahan mahkamah, maka ianya perlulah diperbaiki dan ditangani segera. Saya juga ingin menyarankan kepada semua Hakim Syarie supaya menyediakan satu jadual Indeks Prestasi Utama atau Key-Performance Indicator (KPI) bagi membantu melancarkan dan memperkemaskan perjalanan penyelesaian kes. Seorang Hakim Syarie itu amanahnya bukan sekadar menyelesaikan kes semata-mata malah perlu mempamirkan akhlak yang terpuji sesuai dengan kehendak Islam. Justeru, seseorang Hakim Syarie itu perlu memberikan layanan yang baik dan menghormati  pihak-pihak sewaktu prosiding sedang berjalan termasuklah menghormati peguam-peguam yang mewakili kes. Dengan bersikap lemah lembut kepada pihak-pihak serta menghormati Peguam yang hadir membawa kes tidak sesekali akan menjatuhkan kredibiliti seorang Hakim malahan ia akan menimbulkan satu rasa hormat oleh pihak-pihak dan akan membantu memudahkan perjalanan sesuatu kes

 

Pegawai Sulh

 

          Lambakan kes yang didaftarkan di Mahkamah Syariah telah mencetuskan satu inisiatif di pihak Mahkamah Syariah untuk mewujudkan Unit Sulh bagi membantu menyelesaikan kes dalam kadar segera. Berteraskan misi untuk menjadi sebuah institusi kehakiman yang berwibawa, pegawai sulh yang telah dilantik bagi membantu menyelesaikan kes perlulah menjalankan proses sulh tersebut dengan profesional dan penuh etika. Seperti yang diketahui umum, Pegawai Sulh berperanan sebagai perantara antara dua pihak bagi  mencapai persefahaman serta persetujuan tanpa mempunyai apa-apa kepentingan yang tersembunyi. Oleh sebab itu kepakaran dalam menjadi orang perantaraan atau mediasi sulh perlu diperkasakan di samping perlunya mempelajari teknik-teknik baru yang lebih berkesan dalam memahami keperluan pihak-pihak yang hadir. Alangkah besarnya ganjaran sekiranya kita dapat menyelesaikan sesuatu pertelingkahan antara dua pihak dan sebagai Pegawai Sulh seharusnya berbesar hati menjalankan amanah yang diberikan dengan penuh dedikasi.

 

Peranan Masyarakat

 

           Masyarakat yang beragama Islam merupakan salah satu entiti yang berpotensi membantu menjaga imej dan kredibiliti Mahkamah Syariah. Satu perkara yang perlu difahami oleh semua termasuklah masyarakat secara umumnya ialah Mahkamah Syariah merupakan hak milik semua individu yang beragama Islam dan bukan merupakan hak eksklusif oleh mana-mana pihak. Tanggungjawab menjaga imej dan nama baik Mahkamah Syariah bukan hanya merupakan tanggungjawab warga kerja Mahkamah Syariah sahaja tetapi ianya juga banyak bergantung kepada masyarakat.

          Justeru, peranan dan kerjasama masyarakat khususnya umat Islam di Negeri Perlis yang menjadi pelanggan kepada Mahkamah adalah amat penting dalam menjaga reputasi dan kredibiliti Mahkamah Syariah. Sekiranya terdapat kesalahan atau kecacatan yang dirasakan perlu diperbaiki oleh pihak Mahkamah Syariah, diharapkan masyarakat dapat memberikan teguran yang membina dan bukan menyalahkan mahkamah secara terus menerus. Di pihak  Mahkamah Syariah Negeri Perlis sendiri akan berusaha untuk lebih mendekati dan menjalin hubungan yang lebih rapat dengan masyarakat luar  bagi menghakis sebarang persepsi negatif terhadap Mahkamah Syariah Negeri Perlis dan untuk ke arah itu kerjasama dari masyarakat sekeliling amat diharapkan.

 

Kesimpulan

 

           Dalam menjadikan JKSNPs sebagai sebuah institusi kehakiman yang menuju ke arah kecemerlangan, kerjasama dari warga kerja JKSNPs, para peguam dan masyarakat secara umumnya amatlah diharapkan untuk melahirkan semangat kebersamaan dan kekitaan bagi mengikis segala fitnah dan persepsi negatif yang boleh menjatuhkan kredibiliti dan nama baik Mahkamah Syariah di Perlis. Selain daripada itu sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) juga perlu dipertingkatkan sebagai mekanisme penghubung terpantas antara jabatan dan pelanggan bagi menyalurkan input-input penting dan bermanfaat kepada pelanggan. Saya berharap kepada pasukan ICT akan sama-sama berusaha untuk memperbaiki sistem teknologi sedia ada ke tahap yang lebih baik.

          Tiada apa yang lebih bermakna selain perpaduan dan hubungan silaturahim yang baik antara semua umat Islam yang pastinya mampu melahirkan kecemerlangan dan kejayaan sekiranya kita percaya bahawa tiada apa yang lebih baik selain daripada anugerah Islam dan Iman yang diberikan oleh Allah swt. Berbekalkan ikrar yang diungkapkan untuk memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan terbaik, saya berdoa dan berharap semoga hasrat kita semua untuk menjadikan JKSNPs sebagai sebuah institusi kehakiman yang berwibawa akan tercapai. Inshaa Allah.   

 

 Sekian, Wassalam.

 

YANG AMAT ARIF TUAN HAJI OTHMAN BIN IBRAHIM

KETUA HAKIM SYARIE

JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI PERLIS

 

HUBUNGI KAMI

Alamat Jabatan :

Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis,Darul Qada' Tuanku Syed Sirajuddin,Jalan Pegawai,Persiaran Jubli Emas,01000 Kangar, Perlis.

Tel: (+604) 9760853

          (+604) 9775031 / 5044 / 5017 / 4927

Fax: (+604) 9775107

Emel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

QR Code

Perutusan Ketua Hakim Syarie - QR Code Friendly

Mobile/Web 2.0

PAUTAN AGENSI

Template Settings
Select color sample for all parameters
Red Green Blue Gray
Background Color
Text Color
Google Font
Body Font-size
Body Font-family
Scroll to top